Friday 11 March 2011

Setulus kasih Ku Korbankan

Nyamannya udara pagi ini kurasakan, sehinggakan dadaku pun terasa tenang setiap kali sedutan oksigen menyusup masuk ke paru- paru melalui rongga pernafasanku. Ku panjatkan syukur kepadamu ya Allah, kerana aku masih lagi di berikan nikmat kehidupan dalam ketenangan sampai ke hari ini. Adakah ketenangan ini akan dapat aku rasai lagi setelah aku bergelar mahasiswa nanti... Entahlah, aku pun tak tahu... Yang pastinya hari- hariku pasti akan sentiasa sibuk dengan pelbagai tugasan dan seminggu lagi hari itu akan menjelma dan bakal mewarnai hari- hariku kelak.

"Shah, oh Shah... jomlah keluar sarapan sekali." Laung emak dari arah dapur. Aku pun bergegas menuju ke arah dapur menyertai ayah, emak dan dua orang adikku.

"Amboi- amboi anak ayah sorang ni, nak sarapan pun nak kena panggil dulu. Nanti dah masuk universiti tak boleh nak manja- manja lagi tau. Semuanya kena buat sendiri. Tak boleh nak harapkan mak dan ayah lagi." aku hanya tersengih dan mengambil tempat di sebelah ayah.

"Shah dah prepare ke apa- apa yang patut di bawa minggu depan." Emak bertanya sambil menyuakan sepinggan mee goreng kepadaku.

"Semua dah settle mak... cuma Shah belum packing lagi. Nantilah dua tiga hari lagi baru Shah berkemas."

" Hmm... Jangan pulak nanti dah tiba masanya baru gelabah, sibuk nak kemas itu ini." Emak mengingatkanku.

" Oh ya Shah, kejap lagi ayah dan mak nak pergi ke pasar. Shah tolong tengok- tengokkan rumah ya, dan kemas apa- apa yang patut. Takut nanti ramai pulak tetamu yang datang ke rumah kita. Nanti malu pulak kalau bersepah." Pesan ayah.

"Ayah nak buat kenduri doa selamat ke ayah." Tanya Adilah, adikku yang kedua dengan pantas di sertai kedutan di dahinya tanda ingin tahu.

"Takde lah... ayah saja je tu, kan bagus kalau rumah sentiasa bersih. Lagipun kita tak tau pun bila tetamu nak datang ke rumah kita." Emak pula menambah.

*********************

"Adik duduk rumah dengan abang Shah dan Kak Adilah ya, emak dan ayah nak pergi dulu. Jangan nakal- nakal tau. Jangan lawan cakap abang dan kakak. Ikut apa yang abang dan kakak suruh." Pesan emak kepada Saiful, adikku yang bungsu. Dia hanya mengangguk.

"Shah jaga rumah dan adik- adik dengan baik ya Shah. Walau apapun yang berlaku utamakan adik- adik. Jangan sia-siakan mereka. Shahlah harapan ayah dan emak. Ingat Shah, kita tiada saudara mara di dunia ini. Hanya Shahlah tempat bergantung adik- adik." Pesan ayah sambil memegang tanganku. Pandangan ayah terasa menikam ke anak mataku. Aku tak dapat berkata apa- apa... seperti ada suatu perasaan aneh menjalar di hatiku.

Sebelum menaiki kereta, emak dan ayah mencium kami tiga beradik, seolah- olah tidak mahu melepaskan kami bertiga. Aku rasa aneh dengan perlakuan emak dan ayah.Tak pernah mereka berkelakuan aneh sebegini. Aku merasakan berat hati untuk melepaskan mereka berdua pergi, namun...

"Hati- hati memandu tu ayah, dan cepat balik ke rumah." Hanya itu yg terkeluar dari mulutku.

********************

Aku gelisah menunggu emak dan ayah di rumah. Sudah lebih dua jam mereka keluar ke pasar. Tak pernah mereka balik selewat ini. Selalunya masa begini mereka sudah sampai di rumah.

Dalam kegelisahan aku menunggu, aku terlihat sebuah kereta peronda polis masuk ke perkarangan rumahku. Beberapa saat kemudian turun seorang pegawai polis di ikuti Pak Abu, ketua kampung. Dub...Dab...Dub...Dab... getar jantungku semakin rancak mengalunkan iramanya.

"Adik ni anak Encik Ibrahim dan Puan Anisah." Aku hanya mengangguk menunggu apa yang ingin di sampaikan kepadaku.

"Saya harap adik bertenang dan banyak- banyak bersabar mendengar berita ini. Encik Ibrahim dan Puan Anisah telah terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori dan telah meninggal dunia di tempat kejadian sejam yang lalu."
Aku terduduk, lemah seluruh sendi- sendiku. Terasa hilang semua kudratku mendengar berita ini.

Aku terpaku entah berapa lama, aku hanya tersedar apabila terdengar suara tangisan adikku Adilah dan Saiful. Aku terus memeluk kedua- duanya. Air mata membasahi pipi. Hanya mereka berdua keluargaku sekarang. Hanya aku harapan mereka... akulah ibu dan bapa mereka mulai sekarang.

"Sabar Shah... ajal, maut, jodoh, pertemuan dan perpisahan itu semua sudah ketentuan Allah. Kita sebagai hambanya hendaklah redha menerima semua taqdirnya. Sama- samalah kita berdoa agar roh mereka berdua aman dan di tempatkan di kalangan orang- orang beriman." Pak Abu cuba menenangkan hatiku.

********************

Para tetamu semua sudah pulang ke rumah masing- masing. Tinggal Pak Abu dan isterinya, Mak Bedah di rumah. Aku mengucapkan terima kasih kepada mereka berdua kerana membantu mengadakan majlis tahlil buat arwah emak dan ayah. Tanpa mereka aku tak tahu apa nak buat. Terasa seluruh kudratku telah di bawa pergi bersama- sama jenazah ayah dan emak.

"Kami balik dulu Shah. Kalau ada apa- apa bagitau Pak Abu. Jangan segan- segan, kamu bertiga dah macam anak kami. Jaga adik- adik tu. Shahlah ketua keluarga mulai sekarang." Pesan Pak Abu.

"Betul tu Shah, Allah tidak menguji seorang hamba itu melebihi kadar kemampuan seseorang itu. Mungkin ujian ini hendak mengajar kita supaya menjadi lebih tabah mengharungi apa jua rintangan yang bakal mendatang." Mak Bedah menenangkan hatiku.

"Betul tu Shah. Ketika satu pintu kebahagiaan tertutup, pintu yang lain dibukakan. Tetapi seringkali kita terpaku terlalu lama pada pintu yang tertutup sehingga tak melihat pintu lain yang dibukakan bagi kita." Pak Abu pula menyambung sebelum meninggalkan rumah kami.

"Ya Allah... hebatnya ujian yang kau berikan. Tuhanku, mampukah aku melepasi semua persimpangan yang menyukarkan ini. Bantulah hambamu ini Ya Allah. Tabahkanlah aku mengharungi semua ujian ini..."

Keheningan menyelubungi rumah tika ini... peristiwa siang tadi masih lagi bermain- main di ruang mindaku. Sejam selepas mendapat berita itu, kereta jenazah yang membawa jenazah ayah dan emak sampai di rumah. Air mata tak dapat ku bendung lagi tatkala melihat wajah ayah dan emak untuk yang terakhir kalinya. Begitu juga adikku Adilah. Saiful hanya diam melihat jenazah ayah dan emak yg sudah siap di kafankan. Apalah budak sekecil ini faham tentang kematian.

"Ayah, mak bangunlah. Jangan tidur. Ramai orang kat rumah kita ni." Saiful berbisik ke telinga arwah ayah dan emak, sambil tangannya mengoncang- goncangkan bahu keduanya.

"Abang Shah, kenapa ayah dan mak tak bangun- bangun lagi? Pergilah kejutkan ayah dan mak. Ramai orang kat sini. Lagipun adik nak main dengan ayah. Ayah dah janji tadi nak main kejar- kejar dengan adik." Saiful bertanya kepadaku. Pedih hatiku mendengarnya. Aku terus memeluk Saiful. Semua tetamu yang berada di ruangan itu menangis melihat 'adegan' itu.

"Ayah, mak... Shah janji akan menjaga Adilah dan Saiful dengan baik dan takkan mensia- siakan mereka berdua. Shahlah ayah dan ibu mereka berdua mulai sekarang." Janjiku di hadapan jenazah ayah dan emak. Selepas itu kami bertiga mencium dahi ayah dan emak untuk yang terakhir kalinya sebelum jenazah keduanya di usung ke tanah perkuburan.

************************

Malam berganti siang, hari- hari berlalu tanpa jemu... begitulah lumrah kejadian ciptaan Tuhan. Tanpa di sangka 12 tahun telah berlalu... dan hari ini pertama kali aku merasakan kegembiraan dalam kehidupanku selepas tragedi yang menyayat hati itu.

"Diumumkan bahawa Adilah Binti Ibrahim adalah pelajar terbaik Fakulti Kedoktoran bagi tahun ini." Tepukan gemuruh memenuhi dewan besar.

Bangga menyelubungiku apabila adikku berjaya dalam pelajarannya sekaligus di'nobat'kan sebagai pelajar terbaik pada tahun ini. Saiful di sebelahku memelukku erat. Jelas terpancar keceriaan di wajahnya.

"Saiful pun nak jadi macam Kak Adilah." Sempat dia berbisik di telingaku. Aku tersenyum memandangnya.

Selepas majlis konvokesyen, satu sidang akhbar telah diadakan untuk menemuramah Adilah. Aku dan Saiful hanya memandang dari jauh. banyak soalan di ajukan kepada Adilah. Strategi belajar, pembahagian masa dan banyak lagi. Tapi antara banyak- banyak soalan, ada satu soalan yang menyentuh hatiku...

"Siapa pendorong utama Adilah hingga berjaya di dalam pelajaran seperti hari ini?"

"Terlebih dahulu sebelum saya menjawab soalan ini, saya ingin mengucapkan terima sasih kepada abang saya, Abang Shahrul. Abanglah pendorong utama kejayaan saya pada hari ini. Tanpanya saya takkan sampai ke tahap ini. Abanglah ibu sekaligus ayah kepada saya dan adik saya. Abang sanggup mengorbankan masa depannya demi menjaga kami berdua.Abang sanggup menjadi buruh untuk membina bangunan dan bermacam kerja sampingan lain untuk menyekolahkan kami berdua. Tak pernah sekalipun dia mengaduh letih dan sebagainya di depan kami." Ada sendu di hujung kata- katanya.

"Pernah suatu hari abang pulang dari kerja dengan baju penuh simen dan tangan terluka. Saya menangis apabila membersihkan luka di tangan abang. Abang kata dia tak rasa sakit atau pedih kerana luka di tangannya... tetapi dia mengatakan hatinya terluka melihat saya menangis. Sejak itu saya berazam yang saya akan belajar bersungguh- sungguh dan mencapai cita- cita saya...agar saya dapat menjaga abang dan adik pula." Selepas berkata- kata, Adilah terus berlari ke arahku dan memelukku. Kedua- dua adikku menangis dalam pelukanku.

"Abang berbangga punya adik seperti Adilah dan Saiful. Tentu ayah dan emak pun begitu juga. Sudah menjadi tugas abang untuk menjaga adik- adik abang." Sempat aku berbisik di telinga keduanya.

Aku bersyukur Ya Allah, di kurniakan ketabahan hati dan kecekalan dalam mengharungi ujianmu Ya Allah dan di kurniakan dua orang adik yang baik dan memahami.